SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH

SALAM MAAL HIJRAH 1432 HIJRIAH DARI KAMI, BADAN KEBAJIKAN PENGAWAS MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING.

OUR ANTHENM........

"MAJU KE HADAPAN SEMUA"


MARILAH KITA UMMAT MUHAMMAD,
UNTUK MAJU KE HADAPAN SEMUA,
MARI KITA BERSATU,
BANGKITKAN SERUAN AGAMA,
YANG KITA CINTAI INI....


SYUHADA PERJUANGANMU DIBERKATI ILAHI,
TERUSKAN MATLAMAT KITA,
MADRASAH ISLAMIAH TERCINTA.....

BADAN KEBAJIKAN PENGAWAS MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING

BADAN KEBAJIKAN PENGAWAS BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KEBAJIKAN PELAJAR - PELAJAR DI MADRASAH ISLAMIAH. OLEH ITU, BADAN KAMI AKAN BERUSAHA SEDAYA - UPAYA UNTUK BEKERJA KERAS LEBIH KE ARAH KESEJAHTERAAN MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING.

Thursday, January 20, 2011

Hentikan mengumpat

SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya golongan wanita cukup suka mengumpat.

Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga atau hal peribadi seseorang.

Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang melakukan fitnah.

Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim)

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.

Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.

Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.

Saturday, January 1, 2011

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH


KEPADA PELAJAR - PELAJAR MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING, SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH YANG DICINTAI DAN DISAYANGI INI.

DAN SELAMAT BERSEKOLAH MENENGAH KEPADA PELAJAR - PELAJAR SEKOLAH RENDAH YANG BARU SAHAJA MENAMATKAN SESI SEKOLAH RENDAH MEREKA.

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH, MUDAH - MUDAHAN MENDAPAT ILMU YANG BERMANFAAT.

Friday, December 17, 2010

Kepelbagaian masjid dunia


bangunannya yang berwarna belang merah dan putih, bak kuih lapis menjadi salah satu keunikan Masjid Jami-Ul-Alfar ini.


KATA Ibnu Khaldun, seni bina adalah satu daripada asas tamadun yang paling utama yang merupakan lambang atau manifestasi daripada sesuatu tamadun.

Aspek seni bina Islam yang terpenting yang harus diperhatikan ialah seni bina masjid. Ini kerana Islam telah meletakkan tempat ibadah sebagai ciri terpenting sesebuah bandar. Sebagaimana tatkala Rasulullah SAW mencari tapak yang sesuai untuk membina masjid pada penghijrahan baginda ke Madinah dahulu.

Seni bina masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding Barat, kerana unsur-unsur ketamadunan yang dikembangkan di kota-kota Islam begitu mementingkan nilai kerohanian. Pada masa yang sama, tidak meminggirkan pembangunan fizikal dan kebendaan.

Alangkah seronoknya jika setiap kita berpeluang untuk melihat masjid-masjid yang hebat di seluruh dunia. Bukan tujuan untuk berbangga dengan pencapaian seni bina umat Islam dahulu tetapi menyedari hakikat, ilmu kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

Berikut empat buah masjid yang dikira tersenarai atau dikategorikan sebagai masjid tertua, tercantik dan terbesar di dunia.

Masjid Jami-Ul-Alfar, Sri Lanka

MASJID Jami-Ul-Alfar terletak di Second Cross Street, di kawasan Bazar Pettah, Colombo, Sri Lanka.

Sebenarnya, tidak sukar untuk mengenali bangunan masjid yang siap pembinaannya pada 1909 ini kerana keunikannya yang ketara. Iaitu warnanya belang merah dan putih, bak kuih lapis bagi masyarakat kita.

Arkitek bagi Masjid Jami-Ul-Alfar ialah H.L. Saibo Lebbe. Kerja-kerja pembinaan bermula pada tahun 1908 dan siap setahun kemudian. Tahun siapnya sama dengan siapnya Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Masjid ini adalah salah satu yang yang tertua di Colombo yang mana ia telah dibina oleh keluarga Khan dari Mumbai, India.

Tuesday, December 7, 2010

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH

BADAN KEBAJIKAN PENGAWAS MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING( BKPMIBK ) MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1432 HIJRAH


BERSAMA KITA JAYAKAN 1 UMMAH.

Monday, November 15, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA & SELAMAT BERCUTI SEMUA!!!


Kepada semua warga Madrasah Islamiah Bandar Kuching, penulis weblog Madrasah Islamiah ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha dan Selamat Bercuti.


Ini kerana semua warga Madrasah Islamiah akan bercuti bermula esok, iaitu Hari Raya Haji, 17 November 2010 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1431 Hijriah.


Ujian Penggal Peperiksaan telahpun berakhir pada minggu lepas, jadi semua pelajar akan bercuti bermula pada tarikh yang telah ditentukan di atas.


SEKIAN........



SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA DAN SELAMAT BERCUTI SEMUA!!!








Thursday, May 27, 2010

JANGAN SAKITI NABI!

Oleh:
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki
(Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)
Klik di sini untuk sumber asal artikel ini.

Sesiapapun akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada diantara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah S.W.T. terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi s.a.w. bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab dihadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi s.a.w. telah melarang dan menegur perbuatan ini dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” sabda Nabi s.a.w. (riwayat al-Tirmizi).


Fatwa Prof. Dr. Ali Jumu'ah, Mufti Mesir menjawab Status Ayahanda & Bonda Nabi s.a.w.

Jika itulah sikap Nabi s.a.w. dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi s.a.w. sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam Neraka? Adakah Nabi s.a.w. tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apapun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah S.W.T. dan makhlukNya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi s.a.w. itu kufur dan berada dalam Neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulang-ngulangkan kalimah yang pastinya menyakiti Nabi s.a.w. itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi s.a.w.? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi s.a.w. kita ungkit dan timbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi s.a.w.. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menempati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi s.a.w. telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menanggapinya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi s.a.w. adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi s.a.w. bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi s.a.w. diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi s.a.w. kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi s.a.w. adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas r.a., seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi s.a.w. telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi s.a.w. pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi s.a.w. melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah S.W.T. tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad s.a.w. sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi s.a.w. sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi s.a.w. dan bukannya Abdullah, bapa Baginda s.a.w.. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim a.s. (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi s.a.w. benar-benar kafir, Nabi s.a.w. tidak akan diizinkan Allah S.W.T. untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi s.a.w. berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi s.a.w. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah S.W.T. di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi s.a.w. musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya (Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi s.a.w. (kufur)” (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi s.a.w. boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof. Dr. Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr. Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi s.a.w. yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah S.W.T. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah S.W.T. sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah s.a.w. Semoga Allah S.W.T. menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w.

Monday, 3 May 2010

Kedudukan Ibubapa Rasulullah SAW

Satu tulisan oleh al-Fadhil Ustaz Mujahid Abdul Wahab, anak murid kepada tuan guru al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, yang menyanggah tulisan Ustaz Ravi di dalam Utusan Malaysia. Mempertahankan Rasulullah itu kewajipan bagi kita selaku umat baginda!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

PENGENALAN DAN PEMBUKAAN

PERTAMA

Allah berfirman dalam surah al Syu’ara’ ayat 218- 219:

الَّذِي يَرَاكَ حِيْنَ تَقُوْمُ وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِيْنَ

“Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud.”

Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad di dalam Tobaqat al Kubra, dikeluarkan juga oleh al Bazzar, al Tabrani dan Abu Nu’aim di dalam Dalail al Nubuwwah, daripada Ibnu Abbas RA berkata:

“Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Rasulullah SAW sebagai seorang Nabi.”

Ibnu Abbas RA mentafsirkan firman Allah ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang Nabi ke sulbi Nabi seterusnya ke dalam sulbi dari kalangan para sajidiin (yang sujud dan beriman kepada Allah).

Maka dapatlah diketahui bahawa Rasulullah SAW dilahirkan daripada benih insan-insan yang beriman dan mendirikan solat dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS.

Dalil ini juga telah dipakai oleh Imam Baijuri di dalam Hasyiah, pada menyatakan keimanan ayahanda dan bonda serta seluruh nenek-moyang Rasulullah SAW.

KEDUA

Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَا وُلِدَنِي مِنْ سِفَاحِ الْجَاهِلِيَّةِ شَيْءٌ مَا وُلِدَنِي إِلاَّ نِكَاحٌ كَنِكَاحِ الإِسْلاَمِ

"Tidaklah aku dilahirkan dari perzinaan kaum Jahiliyyah walau sedikitpun, dan tiadalah aku dilahirkan melainkan dengan nikah seumpama nikah Islam.”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

MUNAQOSYAH

Berkata Ustaz Ravi:

“Namun, tiada riwayat yang sahih atau yang diterima (maqbul) daripada buku-buku hadis utama ini yang menyatakan bahawa ibu bapa Nabi SAW itu Muslim sama ada atas agama nabi Ibrahim a.s. atau agama nabi Isa a.s.”

Berkata hamba yang dho’if:

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Ravi menunjukkan beliau memerlukan kefahaman yang lebih luas mengenai al Sina’ah al Hadisiyyah. Di dalam ilmu hadith, yang menjadi ukuran bagi menghukum sesuatu hadith ialah sanadnya, bukan kerana ia dikeluarkan oleh Ashab al Sunan al Sittah, al Muwatto’ dan kitab-kitab yang masyhur. Sesuatu hadith itu diterima apabila cukup syarat-syaratnya walaupun ia diriwayatkan di dalam sebuah kitab hadith yang tidak masyhur.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Hadis-hadis tentang isu ini menjurus kepada kesimpulan ibu bapa nabi SAW mati dalam kufur kerana nabi sendiri mengesahkan di dalam hadis-hadis tersebut dengan mengatakan mereka berada di neraka.”

Berkata hamba yang dho’if:

Pada hemat saya hamba yang dho’if, Ustaz Ravi seolah-olah tidak memahami apakah pengertian Qot’iyyah al Thubut dan Qot’iyyah al Dilalah di dalam ilmu Usul Fiqh. Benar, hadith tersebut diriwayatkan dalam sohih Muslim dengan sanad yang sohih, akan tetapi adakah ia benar-benar menunjukkan (Wajhu al Dilalah) hukum yang anda keluarkan? Adakah dengan menemui sesuatu dalil yang sohih di dalam sesebuah kitab hadith, justeru kita akan terus mengeluarkan hukum berdasarkan zahirnya tanpa mengira kupasan dan perbincangan ulama’ mengenainya? Semoga Allah menghindarkan kita dari tergesa-gesa dan melulu dalam menghukum.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Mari kita perinci satu persatu. Pertama, hadis riwayat Muslim (no. 203) yang sanadnya daripada Anas r.a; seorang lelaki bertanya kepada Rasullullah: Wahai Rasulullah, di manakah ayahku? Nabi menjawab, "Di dalam neraka." Apabila lelaki itu berpusing untuk pergi, baginda memanggilnya lalu berkata: "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di neraka."

Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim (judul buku: Huraian hadis-hadis Sahih Muslim) berkata: Ia nas dalil bagi larangan memohon doa keampunan kepada orang-orang kafir.”

Berkata hamba yang dho’if:

Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz:

عَنْ حَمَّادِ بْنِ سَلَمَةَ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النَّارِ، فَلَمَّا قَفَّى دَعَاهُ، فَقَالَ: إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ.

Daripada Hammad ibn Salamah daripada Thabit, daripada Anas ibn Malik RA: “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?" Rasulullah SAW menjawab, "Di dalam neraka." Tatkala lelaki tersebut berpaling, Rasulullah SAW memanggilnya lalu berkata, "Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.”

Maka yang difokuskan oleh Ustaz Ravi di sini ialah pada maksud lafaz hadith: “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.” Maka dengan tergesa-gesa selepas itu beliau mengeluarkan hukum ayahanda Nabi mati dalam kekufuran.

Para ahli hadith mengesahkan bahawa lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW itu ialah seorang 'Arabi (badwi). Pendapat ini disepakati berdasarkan hadith yang menceritakan kisah yang sama, yang diriwayatkan oleh Mu’ammar daripada Thabit. Tetapi, perbezaan di antara kedua-dua jalan ialah hadith yang diriwayatkan melalui jalan Mu’ammar tidak mempunyai lafaz:

إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ

“Sesungguhnya bapaku dan bapa kamu di dalam neraka.”

Maka faedah ilmiah yang pertama yang kita perolehi di sini ialah lafaz di atas tidak disepakati oleh para perawi.

Hadith yang diriwayatkan oleh Mu’ammar tanpa lafaz tersebut lebih diyakini dari aspek riwayat dan lafaz, menurut ahli hadith, Mu’ammar adalah seorang yang lebih terpeliharan hafazannya dan dia tidak menerima sebarang kritikan dari ulama’ Jarah dan Ta’dil. Tambahan lagi al Bukhari dan Muslim bersepakat dalam menyatakan keyakinan mereka terhadap Mu’ammar. Ini berbeza dengan situasi Hammad yang hanya diyakini oleh Muslim tetapi tidak di sisi al Bukhari.

Katakanlah lafaz Hammad ibn Salamah dalam Sohih Muslim di atas adalah dari lafaz Nabi SAW sendiri, maka ia tidak juga boleh dijadikan sandaran dalam menghukum kekufuran ayah Nabi SAW kerana ‘illah dari aspek matan menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menggunakan teknik dan kaedah yang membawa erti kesamaran supaya keadaan menjadi lebih tenang dan terkawal. Rasulullah SAW menggunakan lafaz persamaan kedudukan bagi kedua-dua bapa dengan tujuan-tujuan tertentu. Di antaranya:

1) Apabila Rasulullah SAW menyatakan persamaan kedudukan kedua-dua bapa mereka di dalam neraka, wujud persamaan dan tautan hati lelaki 'Arabi terhadap Rasulullah SAW dan lebih bersemangat untuk mendalami ajaran Islam.

2) Sekiranya Rasulullah SAW menyatakan bahawa bapa 'Arabi tersebut di dalam neraka, sedangkan bapa Baginda SAW di dalam syurga, maka lelaki 'Arabi itu akan merasakan jurang perbezaan di antara mereka berdua dan dikhuatiri perkara ini akan menyebabkan lelaki 'Arabi tersebut lari menjauhi Islam serta kembali murtad.

3) Sekiranya Rasulullah SAW membezakan kesudahan bagi kedua-duanya, dikhuatiri lelaki 'Arabi yang terkenal dengan sikap degil dan keras hati akan mengeluarkan kata-kata sumpahan dan caci-maki terhadap Rasulullah SAW yang bakal mengundang laknat dan kemurkaan Allah SWT.

4) Teknik yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bertujuan untuk mengelakkan fitnah dan sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap kaum 'Arabi dan kaum kerabatnya. Ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai kaum kerabat lelaki 'Arabi tersebut memeluk Islam.

Sekiranya kita mengkaji dengan meluas, terdapat banyak lafaz-lafaz dari hadith Nabi SAW yang menunjukkan gaya kaedah sebegini. Kerana Nabi SAW adalah seorang yang bijak dalam berdakwah dan berbicara dengan manusia sekadar mana pencapaian akal para pendengarnya. Apabila berurusan dan berbicara dengan orang arab badwi, maka mu’amalah Nabi SAW lebih lembut, mengalah, bertolak ansur dan lunak berbanding dengan mereka yang telah lama memahami serta mendalami Islam.

Faedah ilmiah yang lain yang dapat kita kutip ialah menurut al Hafiz al Suyuti juga, hadith sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini diriwayatkan oleh Hammad ibn Salamah dengan makna, bukan dengan lafaz. Manakala lafaz:

إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ

Merupakan lafaz yang tidak disepakati oleh para perawi dari jalan hadith yang lain. Berdasarkan riwayat Mu’ammar daripada Thabit pula, tidak kedapatan lafaz di atas, akan tetapi diriwayatkan dengan lafaz yang lebih umum.

Dalam riwayat yang lain, dikeluarkan oleh al Bazzar dalam Musnadnya dan al Tabrani di dalam al Mu’jam al Kabir dengan sanad rijal yang sohih, daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas:

أَنَّ أَعْرَابِيًّا أَتَى النَّبِيَّ (ص) فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النَّارِ. قَالَ: فَأَيْنَ أَبُوْكَ؟ قَالَ: حَيْثُ مَرَرْتَ بِقَبْرِ كَافِرٍ فَبَشِّرْهُ بِالنَّارِ.

“Sesungguhnya seorang 'Arabi datang bertemu Nabi SAW lalu bertanya, "Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?" Rasulullah SAW menjawab, "Di dalam neraka." Maka lelaki Badwi tadi bertanya pula, "Di mana pula bapamu?" Rasulullah SAW menjawab, "Tatkala kamu berjalan berhampiran kubur seorang kafir, beritakan kepadanya bahawa dia di dalam neraka.”

Hadith yang diriwayatkan dari jalan Sa’ad ibn Waqqas ini secara jelas menerangkan kepada kita bahawa lelaki yang bertanya soalan kepada Rasulullah ini adalah seorang badwi yang dikhuatiri akan murtad disebabkan imannya yang masih belum benar-benar mantap, ditambah pula kefahamannya mengenai Islam masih cetek.

Ulama’ menyatakan bahawa lafaz “Abi” di dalam riwayat Muslim bukanlah ditujukan kepada Abdullah. Kerana tradisi masyarakat arab mereka memanggil ayah, bapa saudara dan datuk dengan gelaran “Abi”. Ini yang harus kita fahami dengan jelas.

Maka jika benarlah lafaz ini datangnya dari Rasulullah SAW, maka sesetengah ulama’ menyatakan bahawa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan lafaz ‘Abi’ tersebut bermaksud bapa saudaranya iaitu Abu Tolib.

Menurut pendapat guru saya di Mesir, al Mufassir Dr. Judah al Mahdi al Husaini (Naib Rektor al Azhar), beliau menyatakan mengapa tidak lafaz itu ditujukan kepada Abu Lahab kerana kekufurannya adalah jelas, kedudukannya di dalam neraka adalah thabit dengan nas yang qot’i (Surah al Masad) dan dia juga adalah merupakan bapa saudara Nabi.

Maka adalah tidak sayugia menghukum aqidah bapa Nabi SAW dengan dalil Zonniyah al Dilalah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Perbincangan berkisar tentang isu ibu bapa Nabi tidak terlepas dari azab neraka telah berlangsung secara panjang lebar oleh al-Allamah Ibrahim al-Halabi dalam buku Risalah Mustaqillah dan al-Allamah al-Qari dalam bukunya Sharh al-Fiqh al-Akbar.”

Mereka berdua berdalilkan nas hadis sahih ini: (Sesungguhnya bapaku dan bapamu berada di neraka).

Berkata hamba yang dho’if:

Semoga Allah memberikan petunjuk buat saya dan Ustaz Ravi. Dengan izin Allah saya menyatakan: Sesungguhnya pendapat Mula Ali al Qari telah dinyatakan di dalam Syarh al Fiqh al Akbar. Akan tetapi beliau telah menarik balik pendapatnya mengenai bapa Nabi berada di dalam neraka di dalam kitab Syarah Syifa al Qadhi ‘Iyadh yang ditulis olehnya. Di antara pendapatnya di dalam kitab tersebut bermaksud lebih kurang:

“Adapun pendapat yang benar mengenai kesudahan ibu bapa Nabi ialah berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al Suyuti dalam 3 buah risalah yang dikarangnya.”

Tiga buah risalah tersebut pada pengetahuan saya (hamba yang dho’if) ialah Masalik al Hunafa fi Walidayy al Mustofa, al Ta’zhim wal Minnah fi Anna Abawayy Rasulillah fil Jannah dan al Yaqin fi Najaati Abawayy Sayyidil Mursalin. Saya juga ada mengira bahawa al Suyuti telah menulis 5 risalah khusus mengenai permasalahan ini.

Semoga Allah mempermudahkan beliau menemui kitab tersebut.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Hanya Al-Suyuti bertentang pendapat dengan para ulama hadis bertaraf hafiz dan ulama-ulama muktabar tersebut kerana beliau memilih pendapat ibu bapa nabi Muslim dan terlepas daripada azab neraka dalam penulisannya seperti 'al-Ta'zim wa al-Minat fi anna Abaway Rasulullah SAW fi al-Jannah'.”

Berkata hamba yang dho’if:

Seolah-olah Ustaz Ravi menyatakan al Imam al Suyuti bukanlah berdarjat al Hafiz dalam bidang hadith. Selayaknya beliau menyebut sebagai al Hafiz al Suyuti kerana al Suyuti dan al Hafiz al Sakhawi kedua-duanya adalah murid kepada Amirul Mu’minin fil Hadith al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani. Bahkan sesetengah ulama’ menyatakan bahawa al Suyuti lebih kuat hafazan dan kemahirannya dalam bidang hadith daripada al Sakhawi.

Kekeliruan di sisi Ustaz Ravi di sini ialah apabila ulama-ulama’ hadis dan muktabar menolak hadith tersebut (dihidupkan ibu Nabi) maka, beliau mengheret permasalahan ini kepada permasalahan kufurnya ibu Nabi SAW.

Seolah-olah ulama hadith yang tidak menerima hadith-hadith yang dikatakan maudhu’ itu secara automatik turut mengiktiqadkan kekufuran ayah dan ibu Nabi SAW.

Para ulama’ hadith yang menilai hadith tersebut mendapati ia adalah hadith rekaan (maudhu’) dan tidak boleh dijadikan dalil bagi menyatakan keislaman ayah dan ibu Nabi. Ini tidaklah bermaksud tiadanya dalil lain yang diterima dalam menyatakan keislaman mereka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Kesimpulannya, nas-nas yang sahih mengesahkan ibu bapa nabi berada di neraka memberi fahaman bahawa mereka itu meninggal dunia berstatus kafir.”

Berkata hamba yang dho’if:

Semoga Allah merahmati ilmu dan ulama’. Ini adalah suatu tindakan kurang teliti, tergesa-gesa, mujazafah dan melulu. Bagaimana beliau begitu cepat menghukum tentang kesudahan ayah dan ibu Nabi SAW berada dalam neraka kerana kekafirannya. Di mana ustaz Ravi dengan firman Allah:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِيْنَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُوْلاً

“Tidaklah kami mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan seorang Rasul”

Moga-moga Ustaz Ravi mengkaji dan mengetahui sirah Nabi bilakah Abdullah dan Aminah meninggal dunia. Sekiranya beliau masih berterusan menyatakan kekafiran ayah dan ibu Nabi, maka hendaklah beliau sedikit beradab dengan menyatakan bahawa ibu bapa Nabi SAW tergolong di kalangan Ahli Fatrah (zaman yang tiada perutusan Rasul) yang terselamat dari api neraka menurut pendapat yang sohih di sisi jumhur Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

PENUTUP

Imam Baijuri menyatakan dalam Tuhfah al Murid ‘ala Jauharah al Tauhid:

“Apabila kamu telah mengetahui bahawa Ahli Fatrah adalah golongan yang terselamat (di akhirat) menurut pendapat yang terpilih, maka kamu juga akan mengetahui bahawa kedua ayahanda dan bonda Rasulullah juga terselamat, disebabkan mereka juga tergolong dari kalangan Ahli Fatrah. Bahkan, semua nenek-moyang Rasulullah terselamat dan dihukumkan sebagai generasi yang beriman dan tiada seorang pun di antara mereka yang (terjebak di dalam kancah) kekufuran, kekotoran serta perkara-perkara yang mengaibkan (menjatuhkan maruah) yang dilakukan oleh kaum Arab Jahiliyyah."

Dikeluarkan oleh Abu Nu'aim di dalam Dalail al Nubuwwah dari jalan al Zuhri daripada Ummu Sama’ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah ketika gering dan Muhammad ketika itu berusia 5 tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya seraya berkata:

“Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak dari ayahandanya (Abdullah) yang ditaqdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum Jahiliyyah.

Setiap yang hidup pasti akan mati, setiap yang baru pasti akan buruk, setiap yang banyak pasti akan habis, dan aku akan pergi tetapi namaku akan kekal, sesungguhnya aku telah meninggalkan kebaikan dan melahirkan anak yang suci.”

Dari kata-kata Aminah tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa beliau beriman dengan agama Nabi Ibrahim AS seperti yang bakal diteruskan oleh puteranya Rasulullah SAW.

MENGAPA PERLU MENYAKITI RASULULLAH?

Al Qadhi Abu Bakar al ‘Arabi al Maliki suatu ketika ditanya perihal seorang lelaki yang mengatakan bahawa bapa dan datuk Nabi SAW berada di dalam neraka. Maka beliau menyatakan sesungguhnya lelaki tersebut dilaknat. Sesungguhnya Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِيْنَ يُؤْذُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ لَعَنَهُمُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِيْنًا

“Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan RasulNya, mereka dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat serta disediakan bagi mereka azab yang menghinakan.”

Beliau menyatakan lagi: Dan tiadalah perkara yang lebih menyakitkan Rasulullah SAW selain menyatakan bapa Baginda diazab di dalam neraka.

وَاللهً الْمُسْتَعَانُ

Al Abdu al Dho’if,
-Mujahid Abdul Wahab-

Thursday, May 13, 2010

MUSIM PEPERIKSAAN PENGGAL SUDAH BERMULA, BERSEDIALAH PELAJAR - PELAJAR MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING.

BERSEDIALAH PELAJAR - PELAJAR MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING!!!

TEMPUHILAH PEPERIKSAAN PENGGAL INI DENGAN CEKAL & TABAH!!!