SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH

SALAM MAAL HIJRAH 1432 HIJRIAH DARI KAMI, BADAN KEBAJIKAN PENGAWAS MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING.

OUR ANTHENM........

"MAJU KE HADAPAN SEMUA"


MARILAH KITA UMMAT MUHAMMAD,
UNTUK MAJU KE HADAPAN SEMUA,
MARI KITA BERSATU,
BANGKITKAN SERUAN AGAMA,
YANG KITA CINTAI INI....


SYUHADA PERJUANGANMU DIBERKATI ILAHI,
TERUSKAN MATLAMAT KITA,
MADRASAH ISLAMIAH TERCINTA.....

BADAN KEBAJIKAN PENGAWAS MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING

BADAN KEBAJIKAN PENGAWAS BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KEBAJIKAN PELAJAR - PELAJAR DI MADRASAH ISLAMIAH. OLEH ITU, BADAN KAMI AKAN BERUSAHA SEDAYA - UPAYA UNTUK BEKERJA KERAS LEBIH KE ARAH KESEJAHTERAAN MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING.

Wednesday, January 20, 2010

Buang Bayi Perbuatan Orang Jahiliah



Islam sangat mementingkan kehidupan, kesejahteraan manusia
Hukum seorang ibu menggugurkan janin atau kandungannya tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan hadis Nabi. Namun apa yang jelas, al-Quran dan Hadis Nabi mengharamkan pembunuhan kerana Islam adalah agama yang sangat mementingkan kehidupan dan kesejahteraan manusia seluruhnya.
Antaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan barang siapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya” (an-Nisa’: 93).
Malah, kejinya perbuatan membunuh juga dapat dilihat dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak halal darah seorang Muslim (haram membunuhnya) kecuali disebabkan berlakunya salah satu daripada tiga perkara: kafir setelah beriman (murtad), zina setelah berkahwin, membunuh jiwa tanpa jiwa (membunuh tanpa alasan yang benar)”.
Namun persoalannya, apabila seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya, adakah ini bermakna, ibu berkenaan dalam kategori membunuh? Jadi, adakah pengguguran adalah jenayah yang sama dengan pembunuhan? Adakah kandungan atau janin sama nilainya dengan nyawa manusia yang sudah dilahirkan?
Bagi menjawab persoalan ini, ulama sudah membahagikan janin kepada dua peringkat; iaitu peringkat janin sebelum ditiupkan roh dan peringkat janin selepas ditiupkan roh berdasarkan dalil hadis Nabi SAW.
Sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang kamu berada di dalam perut ibunya selama 40 hari sebagai nutfah (air mani), kemudian bertukar menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama itu juga (40 hari), kemudian bertukar menjadi mudhghah (seketul daging) selama itu juga (40 hari), lalu Allah SWT mengutuskan seorang malaikat, maka diperintahkan dengan empat kalimat, dan dikatakan kepadanya: tulislah amalnya, ajalnya, celaka atau bahagia, kemudian ditiupkan roh ke dalamnya (janin)”.
Peringkat pertama ini adalah peringkat ketika janin baru terbentuk sehinggalah ia berumur 120 hari yang bersamaan dengan empat bulan. Ketika ini, janin tidak dianggap sebagai benda hidup, malah janin masih dianggap sebagai benda yang tidak bernyawa kerana roh belum lagi ditiupkan ke dalamnya.
Justeru, jika seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya atas sebab tertentu yang dibenarkan hukum syarak maka inilah waktu yang paling selamat untuk menggugurkan janin. Ia adalah pandangan, sebahagian ulama daripada Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah.
Namun sebahagian besar ulama tetap mengharamkan kecuali demi menjaga keselamatan ibu. Ada juga pandangan dari sebahagian ulama Syaffi’iyah yang membenarkan pengguguran pada peringkat ini walaupun janin itu adalah hasil daripada zina dan rogol.
Asas kepada pandangan ini ialah pengguguran janin sebelum umurnya mencecah 120 hari tidak dianggap sebagai pembunuhan, kerana janin belum lagi bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996 Ali Mahyuddin & Ali Yusuf. (2006).
Walaupun, pengguguran janin ketika peringkat ini tidak dikira sebagai pembunuhan, namun sebahagian ulama daripada Syafi’iyyah dan Hanabilah mengharamkannya, malah mereka makin melarang perbuatan menggugurkan janin apabila janin makin membesar. Dengan kata lain, dosa menggugurkan janin, walaupun tidak sama dengan dosa membunuh jiwa seorang yang hidup, namun perbuatan ini tetap berdosa, dan darjah dosanya semakin membesar dengan meningkatnya umur janin (Muhammad Naim Yasin, 1996).
Pada peringkat kedua pula, iaitu selepas janin ditiupkan roh (selepas 120 hari), semua ulama berpendapat bahawa hukum menggugurkan janin itu berubah menjadi haram dan berdosa kerana janin sudah pun dianggap hidup dan bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996).
Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan ibu menggugurkan kandungannya ketika peringkat ini, kecuali dengan satu sebab saja; iaitu jika janin mengancam nyawa ibu berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh pakar perubatan, dan pengguguran janin adalah satu-satunya cara dan jalan untuk menyelamatkan nyawa ibu. Asas kepada pendapat ini ialah nyawa ibu lebih berharga daripada nyawa janin. Justeru, nyawa janin terpaksa dikorbankan demi menjaga keselamatan ibu (Muhammad Naim Yasin, 1996).
Adapun alasan kerana malu, takut miskin, dan sebagainya tidak membolehkan seorang ibu menggugurkan kandungannya sebaik saja janin berusia 120 hari.
Menurut Imam Sayyid Qutb, terdapat pertalian yang amat erat antara larangan membunuh anak dan larangan mendekati zina kerana daripada zina lahirlah anak yang tidak diingini, lalu mereka dibunuh dan dibuang begitu saja. Malah, perbuatan berkhalwat antara seorang lelaki dan seorang wanita (berdua-duaan di tempat sunyi) dianggap sebagai muqaddimah (permulaan) dan pintu kepada zina.
Oleh itu, berkhalwat dan segala perbuatan yang boleh membawa seseorang kepada zina turut diharamkan dalam Islam. Asas kepada larangan ini ialah Allah amat menyayangi hamba-Nya. Justeru, Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang melarang hamba-Nya daripada terbabit dalam zina yang hanya akan membawa bahaya yang besar kepada diri dan masyarakat seluruhnya (Sayyid Qutb, 2000).
Sayangnya, kebanyakan ibu yang terpaksa menggugurkan janin di Malaysia khasnya adalah hasil daripada hubungan haram (zina). Jika janin itu tidak digugurkan sudah menjadi rahsia umum bahawa bayi itu akan dibuang ke dalam tong sampah, diletakkan di hadapan rumah orang malah masjid tempat ibadat yang begitu suci juga pernah dijadikan sasaran tempat buangan bayi.
Perbuatan membuang bayi pada masa kini menyamai perbuatan Wadulbanat orang Arab pada zaman Jahiliyyah yang menanam hidup-hidup anak perempuan mereka sebelum datangnya pembimbing agung Nabi Muhammad SAW. Malah, perbuatan membuang bayi pada masa kini lebih jahiliah dari perbuatan jahiliah terdahulu kerana pada zaman itu bayi dibezakan jantinanya. Hanya anak perempuan yang ditanam dan bukan anak lelaki, namun sekarang bayi lelaki juga menjadi bayi buangan yang dibuang oleh ibu kandungnya sendiri.
Biasanya wanita yang terlanjur berada dalam dilema berhadapan dengan dua pilihan, membuang bayi atau melakukan pengguguran janin. Ada yang memilih pengguguran janin.
Walaupun pengguguran hasil zina sebelum janin berusia 120 hari dibolehkan oleh sebahagian ulama, namun pengguguran ini bukan menjadi suatu cara untuk mengharuskan atau menghalalkan zina. Wanita yang terbabit dengan masalah zina mesti menyedari bahawa hidup dalam kitaran dosa, zina dan pengguguran, adalah sebuah kehidupan yang penuh kegelapan, penderitaan, penyiksaan, dan penghinaan. Mahukah kita terus dibelenggu dengan dosa, kegelapan, dan penghinaan?
Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan sebelum kematian datang menjemput sedangkan kita masih berada dalam kegelapan dan kealpaan. Berusahalah sedaya upaya untuk keluar daripada kepompong sempit yang penuh dengan najis dan kotoran jahiliah moden, dan carilah cahaya yang dapat melenyapkan kegelapan hati nurani.
Imam al-Shafiie ada menyebut ilmu itu cahaya, dan cahaya yang dapat menyinari kegelapan ini hanyalah dengan mencari ilmu pengetahuan yang berguna.
Pengguguran janin dan pembuangan bayi yang semakin membarah hari ini adalah punca daripada hilangnya rasa tanggungjawab dan rasa hormat terhadap wanita pada tahap yang sepatutnya, dan juga kesan daripada tandusnya penghayatan ilmu agama dalam masyarakat.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama menangani isu keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang semakin mengancam keamanan masyarakat dan menjadi semakin parah seperti penyakit barah terutama isu-isu yang membabitkan penghinaan terhadap wanita seperti masalah zina dan rogol.
Sikap menuding jari ke arah orang lain tidak akan menyelesaikan masalah, malah sikap terpuji ialah setiap orang perlulah melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing serta bersama-sama berusaha dalam menyelesaikan masalah masyarakat dan sama-sama membangunkan masyarakat.
Antara sabda Nabi yang selayaknya menjadi pedoman orang beriman dulu, sekarang dan selamanya ialah: “Setiap kamu adalah pemimpin (yang mempunyai tanggungjawab masing-masing), maka setiap orang akan ditanya mengenai rakyatnya (orang atau tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya)�” (hadis muttafaq ‘alaih).

Tuesday, January 19, 2010

TAHNIAH!!!

Jawatankuasa baru Badan Kebajikan Pengawas Madrasah Islamiah Bandar Kuching(BKPMIBK)




KETUA PELAJAR
Mohd Subri bin Haji Rafaie
TIMBALAN KETUA PELAJAR
Haji Haziq Ahmad Zaki bin Mohamad Zulkipli Al-Wasli
SETIAUSAHA
Siti Farah binti Mohd. Nor
PENOLONG SETIAUSAHA
Hamidah Kassim
AHLI - AHLI BADAN PENGAWAS:
KETUA KELAB BAHASA ARAB
Mohd Subri bin Haji Rafaie
PENOLONG KETUA KELAB BAHASA ARAB
Siti Farah binti Mohd. Nor
KETUA BIRO DAKWAH
Haji Haziq Ahmad Zaki bin Mohamad Zulkipli Al-Wasli
PENOLONG KETUA BIRO DAKWAH
Ahmad Ubaidillah bin Bujang
KETUA BIRO KHUTUB KHANAH(PERPUSTAKAAN)
Haffinie bin Leni
PENOLONG KETUA BIRO KHUTUB KHANAH
Rabiatul Adawiyyah binti Mohamad Azaman
KETUA BIRO PENERANGAN
Adie Fuad bin Sapiee
PENOLONG KETUA BIRO PENERANGAN
Hamidah Kassim

Thursday, January 7, 2010

Forum Remaja Islami & Qiamullail Perdana




Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamah Malaysia (YADIM) Sarawak telah menganjurkan Forum Remaja Islami & Qiamullail Perdana di Masjid Darul Ibadah di Kampung Semariang Lama, Kuching pada 1 Januari 2010 (Jumaat) yang lepas. Forum bertajuk "Hijrah Mencipta Generasi Pemangkin Ummah" dipengerusikan oleh En. Zamri Bali (Exco PERKEPIS) dan dibarisi oleh Ustaz Sarbini Dahlan (Pegawai Latihan HIKMAH), Ustaz Hasfa Bakhry Hassan (YDP ABIM Sarawak) dan Ustaz Zamri Mohamad (Pengarah YADIM Sarawak) sebagai panelis.

Terdahulu sebelum itu, En. Khairul Anwar Shazali (YDP PERKEPIS) telah diberikan ruang kesempatan untuk menyampaikan Kuliah Maghrib berhubung isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Muslim berikutan daripada keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim.

Lebih kurang 100 orang hadir menyertai program tersebut dan rata-ratanya telah memberikan maklum balas positif daripada forum yang disampaikan. Tidak kurang juga yang melahirkan kerisauan terhadap perkembangan terbaru isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Muslim. Hadirin mengharapkana agar isu ini disebarkan kefahamannya di kalangan masyarakat khususnya bukan Muslim. Agar tidak berlaku kekeliruan dan mengelakkan daripada isu ini dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Seterusnya hadirin daripada kalangan belia Islam beriktikaf di masjid tersebut dan program diteruskan dengan Qiamullail pada pagi keesokan harinya. Program ditamatkan usai Solat Subuh berjemaah.

Monday, January 4, 2010

SELAMAT DATANG 2010

Obama sedarkan orang Melayu





Ramai orang, khususnya bukan Melayu mendapat sedikit perangsang dan semangat secara tiba-tiba dengan kemenangan Barack Hussein Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44. Mereka membuat pelbagai andaian dan menyatakan badai perubahan melanda bukan sahaja di AS bahkan di seluruh dunia. Dan kemungkinan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia juga tidak lagi merupakan sesuatu yang mustahil. Tetapi tidak pula mereka mahu katakan bahawa orang Melayu juga boleh jadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Ini semestinya satu perubahan yang menarik, kalau berlaku boleh mencerminkan kematangan pemikiran pengundi dan orang Cina dan bukan Melayu lain di negeri itu. Tetapi kenapa bukan Melayu tidak mahu menganggap perubahan seperti ini sebagai perubahan yang pelik dan tidak mustahil boleh berlaku seperti mana kemenangan Obama?

Soalan yang sama telah juga diajukan kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang tidak menyangkal kemungkinan negaranya mempunyai Perdana Menteri keturunan Melayu. Bagaimanapun, beliau merasa sangsi ia akan berlaku, kerana menurut beliau, pemilihan orang Melayu sebagai Perdana Menteri tertakluk kepada pemilihan daripada pengundi-pengundi di Singapura yang rata-rata bukan Melayu.
Beliau juga memberitahu bahawa walaupun Obama menang dalam pilihan raya Presiden AS yang lalu, namun pengundi bukan keturunan Afrika tidak sepakat menyokongnya; Obama mendapat sokongan padu daripada pengundi keturunan Afrika atau berkulit hitam dan lebih kurang 46 peratus daripada kaum lain. Tetapi, apa yang Hsien Loong tidak mahu katakan ialah: Apakah Singapura tidak boleh melantik Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri? Ia tidak tertakluk kepada pemilihan pengundi, tetapi dipilih oleh parti yang menang dan bagaimana pula kalau seorang wanita Cina jadi Perdana Menteri di Singapura? Adakah ini satu pembaharuan yang pelik dan baik di Singapura? Bolehkah pembaharuan seperti ini berlaku?
Sedangkan kita sering mendengar bahawa wanita Melayu dan Islam tertekan, mereka tidak boleh bersaing dengan kaum lelaki. Tetapi hakikatnya di Malaysia dan beberapa negara Islam, ada wanita menjadi menteri; ini berbanding dengan negara bukan Islam termasuk Singapura sendiri yang kurang mempunyai wanita sebagai pemimpin utama dalam Kabinet. Tidakkah ini membuktikan bahawa agama Islam itu tidak menghalang kaum Hawa daripada maju - dari segi pemikiran dan pendidikan dan bukan 'maju' dari segi keruntuhan akhlak dan moral?
Dan kenapakah apabila orang bukan Melayu di Malaysia dan sejumlah kecil orang Melayu yang kononnya liberal bercakap tentang perubahan ini, mereka hanya mahu dan sanggup bercakap tentang penghakisan kuasa Melayu sahaja sebagai satu "perubahan" yang penting dan baik untuk negara? Mereka anggap pembaharuan itu berlaku apabila Parlimen dikuasai bukan Melayu dan negeri-negeri jatuh ke pembangkang. AS tidak ada pembangkang, walaupun ada parti politik yang bertanding dalam pilihan raya. Mereka adalah parti politik yang bersaing dan bukan membangkang. Mereka bertarung hanya ketika ada pilihan raya dan bukan selepas itu. Itulah sebabnya setiap calon Presiden yang kalah, akan berundur dan biar yang menang mentadbir negara.
Di Malaysia, parti politik bertindak lebih ganas dan keras apabila kalah. Mereka tidak tahu berlagak sebagai orang yang kalah. Malah, mereka juga tidak tahu bertindak dan berlagak kalau mereka menang.
Ramai yang berkata tidak mustahil Malaysia mempunyai Perdana Menteri bukan Melayu. Ini amat melucukan sama sekali. Ia satu igauan yang hanya boleh dialami kalau seseorang itu tidak sedar dengan alam sekeliling dan menolak hakikat dan faktor penting yang mencorak dan membentuk sesebuah negara, khususnya seperti Malaysia.
Tetapi apakah kenyataan menyokong impian ini? Tentu sekali tidak ada. Alasannya sama seperti yang diberi oleh Hsien Loong tentang kenapa Singapura juga belum tahu bila kemungkinan seperti ini berlaku di negara mereka.
Dan kalau kaum sedikit atau minoriti mentadbir negara, maka sebuah sistem apartheid akan berlaku seperti di Afrika Selatan pada suatu ketika dahulu, atau semasa Inggeris dan Jepun berkuasa. Mereka mengguna kuasa kuku besi dan tidak demokratik. Akhirnya mereka tumpas dan Melayu menguasai negara.
Mustahil
Tentu sekali amat sukar dan hampir mustahil Malaysia mempunyai Perdana Menteri bukan Melayu. Malah untuk bukan Melayu menjadi Timbalan Perdana Menteri juga mustahil kerana Malaysia sebenarnya adalah sebuah kesultanan dan Perdana Menteri semestinya orang Melayu.
Lagipun, siapa kalangan bukan Melayu yang kita ada sekarang yang ada keupayaan mentadbir sebuah negara Islam seperti Malaysia? Dalam suasana apabila ramai bukan Melayu belajar di sekolah jenis kebangsaan di peringkat rendah, masakan ada sesiapa kalangan mereka itu yang mahir dalam hal-hal tentang Islam dan Melayu untuk membolehkan mereka menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri di Malaysia tidak dapat disamakan dengan Perdana Menteri atau Presiden di negara lain yang tidak ada peranan untuk menjaga hak kaum dan agamanya. Itulah sebabnya Obama layak dan boleh dipilih oleh pengundi di negaranya untuk menjadi Presiden, sebab beliau tidak ada peranan selain mentadbir negara.
Perdana Menteri Malaysia ada peranan-peranan khas dan beliau adalah juga simbol penting untuk orang Melayu di Malaysia dan agama Islam. Peranan seperti ini tidak dilakukan oleh Perdana Menteri di negara-negara jiran. Oleh sebab itu, orang Cina boleh dipilih menjadi Perdana Menteri di Thailand dan Presiden di Filipina sebab isi bangsa.
Ada banyak faktor lain yang berlaku dalam perhitungan yang tidak memberi kemungkinan seperti ini dari berlaku. Ia akan tetap terperap dalam alam dongengan. Tetapi, malangnya, perubahan yang memberi kebaikan dan keseronokan kepada Melayu tidak disentuh.
Ia seperti kemungkinan perubahan yang akan berlaku di Malaysia apabila Melayu memperoleh kuasa ekonomi sehingga 80 peratus dan tidak hanya 30 peratus sahaja.
Ya, tidak mustahil Melayu menguasai 80 peratus ekuiti di negara sendiri. Ia boleh dilakukan kalau Melayu jadi marah dan menggunakan kemarahan ini dengan baik serta mengukuhkan kedudukan ekonomi dengan bergabung tenaga dan saling bantu-membantu, sama dengan budaya dan semangat yang dipupuk oleh orang Cina, yang selama ini telah menyebabkan ekonomi mereka maju.
Orang Melayu sudah mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang. Tetapi yang kita tidak ada ialah semangat untuk bersatu. Kita perlu menolong perusahaan sendiri. Kita kena buka kedai-kedai menjual barang-barang yang kita perlukan, supaya kita boleh galak pertumbuhan ekonomi secara makro. Melayu mesti mempunyai pusat bandar atau bandar sendiri di mana semua jenis perniagaan dijalankan oleh Melayu, supaya orang Melayu berdikari dan tidak perlu berurusan dengan orang lain.
Kenapa mesti kita sokong perusahaan orang lain yang apabila ekonomi mereka meningkat, mereka sudah pandai menuntut yang bukan-bukan? Bandar-bandar di mana Melayu memonopoli seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu, Shah Alam dan lain-lain harus dikembangkan. Ia harus dijadikan contoh bandar Melayu yang baik.
Ini boleh berlaku, sebab Melayu sekarang rata-rata telah mendapat semangat yang baru dari kemenangan Obama baru-baru ini. Dan kalau Obama dapat memberi semangat kepada orang Melayu, ia adalah untuk Melayu berdikari. Dan ramai Melayu mula sedar apakah masalah dan kelemahan mereka sehingga kini. Mereka telah terlena dengan mimpi sendiri sehinggakan kuasa mereka hampir lupus di hadapan mata.
Ramai Melayu kini mendapat perangsang daripada kemenangan Obama dan mereka tahu bagaimana mahu menggunakan kuasa pengundi mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh sebab itu saya yakin dalam pilihan raya umum nanti, negeri-negeri di bawah pentadbiran sementara parti pembangkang akan dapat dirampas balik.
Kemungkinan besar, kuasa politik Melayu akan melonjak ke hadapan dan kawasan-kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang kini ' digadaikan' kepada bukan Melayu akan dirampas balik. Melayu telah disedarkan dengan kemenangan Obama. Tidak mustahil Melayu akan memiliki kuasa ekonomi sehingga 80 peratus dan bukan sahaja memperoleh 30 peratus seperti yang diidam-idamkan oleh pemimpin Melayu dan ini akan dilakukan tanpa meminta balik kuasa ini daripada orang lain, tetapi dengan mengguna kuasa akal dan kebijaksanaan. Melayu akan bangkit di negara sendiri dan perubahan besar boleh berlaku kalau orang Melayu mendapat kesedaran baru ini dan tahu untuk menggunakannya sebaik mungkin.
Tidak mustahil Melayu yang merupakan 65 peratus dari jumlah penduduk di Malaysia sekurang-kurangnya memiliki ekuiti sebanyak 65 peratus juga. Ada beberapa cara yang Melayu boleh digunakan untuk mempertingkatkan tahap ekonomi mereka. Salah satu darinya ialah untuk meluaskan asas ekonomi mikro. Orang Melayu mesti digalakkan untuk membuka kedai runcit dan yang menjual barang-barang yang mereka perlukan, tanpa mendapatkannya daripada pihak lain.
Nampaknya kaum Cina lebih mendekati sunnah Nabi dengan bergiat dalam bidang perdagangan, walhal, kaum Melayu lebih suka menjadi pekerja di pejabat kerajaan dan makan gaji, dan akhirnya Melayulah yang menjadi pembeli barang-barang daripada syarikat Cina. Oleh sebab itu kaum Cina akan terus memajukan perdagangan mereka dalam semua bidang sementara kaum Melayu masih menghambakan diri untuk terus menyokong menjayakan perusahaan Cina. Inilah silapnya, Melayu yang merupakan jumlah penduduk terbesar di Malaysia telah dijadikan penyokong syarikat dan perusahaan kaum Cina dan lalai serta gagal untuk memajukan syarikat sendiri.
Jadi tidak ada guna bagi kerajaan dan agensi Melayu lain untuk terus menggalakkan orang Melayu mendapat pendidikan tinggi di universiti dalam dan luar negara, sebab akhirnya mereka akan jadi 'pekerja' untuk perdagangan kaum Cina. Apa yang harus dilakukan oleh kerajaan dan agensi Melayu ialah menggalakkan orang Melayu menceburkan diri dalam perniagaan secara kecil-kecilan serta digalakkan membuka kedai runcit dan kedai-kedai lain yang menjual barang-barang yang mereka perlukan.
Usahawan
Kita mesti membuka pekan baru yang dikuasai oleh perniagaan dan usahawan Melayu, supaya kita tidak bergantung dari perusahaan kaum lain. Kenapa kuasa ekonomi diserahkan begitu sahaja untuk memajukan kaum lain, yang akhirnya sanggup mencemuh orang Melayu dan menganggap mereka malas dan tidak ada kuasa untuk bersaing? Sudah tiba masanya semua kawasan perumahan Melayu mempunyai kedai yang dijalankan oleh Melayu sendiri. Inilah sahaja caranya yang dapat kita guna untuk memajukan orang Melayu dan tidak perlu melaungkan slogan kosong.
Apa yang diperlukan ialah orang Melayu yang berkebolehan sahaja dilantik sebagai pemimpin supaya mereka yang hanya pandai menjaga temolok sendiri disingkir. Kemenangan Obama minggu lalu, juga baik untuk orang Melayu mendapat kesedaran baru. Dan perubahan yang ramai orang katakan itu, tidak semestinya yang merugikan orang Melayu, tetapi yang menguntungkan kita semua.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu telah membuka mata ramai orang Melayu, yang sehingga kini telah terlena dengan keselesaan yang mereka dapat rasakan. Dan keputusan ini telah memberi banyak pelajaran kepada kita. Jadi, tidak ada guna untuk pemimpin dan orang Melayu melaung-laungkan slogan kosong tentang ketuanan Melayu, padahal mereka tidak memberi saranan dan cadangan yang membina untuk memajukan orang Melayu, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh Nusantara.
Yang harus kita diterima ialah perpecahan Melayu menguntungkan bukan Melayu apabila pengundi Melayu dibahagi tiga, kepada UMNO, Pas dan PKR. Sekiranya perpecahan itu kepada dua pihak, kedudukan Melayu dalam Parlimen kukuh seperti apa yang telah berlaku sebelum pilihan raya umum lalu. Tetapi apabila berpecah kepada tiga bahagian, maka Melayu yang mengalami keazaban teramat teruk. Kemenangan Obama di AS hanya boleh berlaku apabila kaum kulit hitam atau Afrika bersatu dan seramai 90 peratus daripada mereka mengundi untuk Obama. Sementara kaum kulit putih memberi sumbangan tambahan untuk menguntungkan Obama.



Sumber : Utusan